MENGUCAP 2 KALIMAH SYAHADAH

Mengucap dua kalimah syahadah merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam. Ia merupakan syarat wajib bagi seorang Islam memperakukan keislamnnya selain melaksanakan Rukun Islam yang lain. Bagi mereka yang bukan berketurunan Islam, maka permulaan Islamnya apabila ia mengucapkan kalimah syahadah secara lisan ( diperdengarkan ) dalam bahasa Arab, jelas dan ikhlas di hadapan dua orang saksi muslim.


Setiap seseorang yang beragama Islam mesti ada pada dirinya syahadah ( pengakuan ) bahawa ia menyembah hanya kepada Allah dan mengakui bahawa Nabi Muhammad utusan Allah yang memimpin dan menyeru manusia ke arah mentauhidkan Allah dan beramal dengan ajaran Islam sepenuhnya.

Seseorang yang bukan Islam yang telah mengucapkannya beserta kepercayaan di dalam hati, maka terpelihara diri, harta dan nyawa seperti orang Islam.

Syarat bagi sahnya syahadah adalah :

  1. Tertib lafaz syahadah seperti yang dinyatakan.
  2. Melafazkan kedua-dua kalimah syahadah dengan berturut-turut (tanpa diselangi perbuatan lain)
  3. Mamahami makna kedua-duanya.
  4. Mendustakan perkara yang menyalahi atau bertentangan dengan maksud syahadah.
  5. Menggunakan perkataan "asyhadu" (ﺃَﺷْﻬَﺪُ ) pada keduanya.
  6. Tidak syak atau ragu-ragu akan kedua-duanya.


Pengertian Dua Kalimah Syahadah

Pengertian dua kalimah syahadah :

“ Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah,

dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah”.


Kalimah syahadah juga dikenali dengan kalimah tauhid kerana kalimah tersebut memperkukuhkan keimanan kita kepada Allah dan rasul-Nya dengan beramal dengan apa yang diperintahkan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka sekiranya ada pada dirinya pengakuan tersebut, maka ianya benar – benar Islam dan apabila ia mati ianya diuruskan dengan cara Islam selagi mana ia tidak melakukan perkara – perkara yang membatalkan Iman seperti murtad dan melakukan amalan syirik kepada Allah SWT.


Telah bersabda Rasulullah SAW :


Barangsiapa yang bersyahadah tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad Rasulullah, maka Allah mengharamkan jasadnya untuk disentuh api neraka. ( Riwayat Muslim )


Setelah Rasulullah SAW menerima wahyu daripada Allah, beliau mula mengajak masyarakatnya yang musyrik ( yang menyembah selain Allah ) kepada mentauhidkan Allah dan mengakui kerasulannya dengan mengucap dua kalimah syahadah. Nabi Muhamammad menyeru kaumnya dengan membekalkan kekuatan Iman dan kesabaran. Maka satu demi satu masyarakat Arab Jahiliah mendapat hidayah dengan memperakukan keislamannya dengan bersyahadah di hadapan Rasulullah SAW. Pada hari ini kita dapati dua kalimah syahadah telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia yang menandakan ramainya umat Islam


Kita yang dilahirkan beribu bapakan orang Islam sememangnya telah sedia Islam dan tidak perlu mengikrarkan lafaz tersebut berbanding mereka yang baru memeluk Islam yang sebelumnya tidak mempunyai agama atau beragama selain Islam, maka perkara pertama yang perlu dilakukannya ialah mengucap dua kalimah syahadah untuk memperakukan keislamnya. Akan tetapi, bagi kita yang dilahirkan berketurunan Islam, kita dituntut memperkukuhkan syahadah kita dengan sentiasa melafazkannya sama ada ketika solat ataupun di luar solat. Ketika solat, pada tahiyat awal dan tahiyat akhir terdapat lafaz dua kalimah syahadah yang wajib dibaca . Kita akan membacanya 9 kali sehari semalam dalam menunaikan lima waktu solat fardu. Di luar solat pula kita boleh membacanya sebelum dan selepas tidur, selepas berwuduk, ketika berdoa dan sebelum mati. Tahukah adik - adik bahawa setiap ketika, setiap saat seluruh dunia melaungkan dua kalimah syahadah ketika azan dikumandangkan.


Adapun orang yang tidak berikrar dengan dua kalimah syahadah kerana keuzuran seperti bisu ataupun mati setelah beriman, maka dia mukmin. Sementara bagi orang yang mampu dan mempunyai masa untuk melafazkan dua kalimah syahadah tetapi enggan ( tidak mahu ) mengucapkannya kerana ingkarnya, maka dia boleh dianggap kafir. Maka marilah sama – sama kita memperkukuhkan syahadah kita dengan beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan janganlah dirosakkannya dengan amalan – amalan yang boleh membatalkan Iman. Moga – moga kita mati dalam keadaan orang Islam yang beriman.

1 Comment:

Anonymous said...

boleh saya tanya apa maksud lafaz dua kalimah syahadah tanpa diselangi perbuatan lain? Maksudnya apa ya?