SOLAT HAJAT UPSR 2010



MAJLIS KHATAMAL QURAN 1431H

TARIKH : 26 OGOS 2010

HARI : KHAMIS

TEMPAT : DATARAN ILMU














AKTIVITI IHYA RAMADHAN - TADARUS AL QURAN









EDARAN IHYA RAMADHAN 1431H

Kelebihan Puasa di Bulan Ramadhan.


Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan didalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan sahaja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dalam apa jua cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sambda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

"Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat melunas (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup."

Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)


Menuju Kesempurnaan Ibadah Puasa

Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut:

  • Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah s.w.t.
  • Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria'.
  • Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: "Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram."(Surah Al-Maidah:42)
  • Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.

  • Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

KEM BESTARI SOLAT 1, 2010








Tarikh : 6 Februari 2010
Hari : Sabtu
Tempat : Perkarangan SK Bukit Beruntung
Kumpulan Sasaran : Pelajar Tahun 1
Objektif : Mengetahui dan mempraktik cara berwuduk dan perlakuan solat yang betul

BERIMAN KEPADA ALLAH SWT

Firman Allah SWT, yang bermaksud :

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. ( iaitu ) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi ( seraya berkata ): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. ( Surah Ali Imran : 190 – 191 )


Allah Maha Pencipta

Semua yang kita lihat di langit dan dibumi semuanya adalah ciptaan Allah. Kita dan semua yang ada di langit dan di bumi adalah makhluk ( ciptaan Allah ). Tidak mungkin makhluk menciptakan dirinya sendiri, dan tidak mungkin pula terjadi secara kebetulan. Tidak mungkin wujud itu ada dengan sendirinya, karena segala sesuatu tidak akan dapat mencipakan dirinya sendiri. Semua makhluk tidak mungkin tercipta secara kebetulan karena setiap yang diciptakan pasti memerlukan pencipta Jelas di sini bahawa adik – adik wajib beriman adanya Allah.


Mengenal Allah.

Seorang sahabat Rasulullah SAW., Yahya bin Muaz Al-Razi berkata ;

"Barangsiapa mengenal dirinya maka sesungguhnya mengenal ia akan Tuhannya".

Yahya bin Muaz mengambil faham daripada perkataan Nabi SAW. daripada pertanyaan seorang sahabat;

"Siapakah yang lebih mengenali TuhanNya, ya Rasulullah? Maka sabdanya yang lebih mengenal mereka dengan dirinya."


Banyak cara bagi adik – adik untuk mengenal Allah. Hadis Rasulullah saw di atas antara cara kita mengenal Allah. Dengan berfikir mengenali diri sendiri sahaja akhirnya kita akan dapati dan mengetahui wujudnya Allah SWT. Kita juga boleh melihat dan berfikir akan kebesaran – kebesaran yang diperlihatkan Allah di dunia seperti keluasan laut yang terkandung di dalamnya makhluk yang pelbagai saiz, pelbagai rupa dan pelbagai misteri berkaitan dengannya sehingga tidak dapat difikirkan dengan ilmu yang terbatas. Kita boleh melihat langit bagaimana ianya diciptakan Allah sejauh mata memandangnya dan kedapatan beribu – ribu bintang yang beredar pada paksinya serta matahari dan bulan yang membawa cahaya. Kita juga boleh mengenal dan mendapati wujudnya Allah dengan memikirkan segala nikmat – nikmat yang diperolehi oleh kita. Begitu banyak sekali nikmat kurniaan Allah sehingga tidak terhitung banyaknya. Bayangkanlah udara yang kita sedut untuk meneruskan kehidupan, siapakah yang mengurniakannya.


Dari Ibn Umar ra., dari Nabi saw., sabdanya : "Fikirkanlah mengenai segala nikmat Allah dan pemberianNya, dan janganlah kamu memikirkan tentang zat Allah." (HR Abu Syeikh dan at-Tabrani)


Adik – adik dan para pembaca yang dirahmati Allah, kita juga dapat mengenal Allah dengan mengetahui dan memahami sifat – sifat Allah dan 99 Asmaul Husna ( nama – nama Allah yang baik ). Ustaz percaya adik – adik ada mempelajarinya di sekolah. Dengan mempelajarinya, Insya Allah kita akan lebih mengenal Allah seterusnya memantapkan lagi keimanan kita kepada-Nya.


Allah SWT telah memilih para rasul di kalangan manusia dan secara umumnya, tugas nabi dan rasul adalah membawa kebenaran, memberikan khabar gembira dan peringatan kepada umatnya agar mereka menjadi umat yang beriman kepada Allah lantas menjauhi kesengsaraan hidup di dunia dan akhirat. Umat – umat rasul tersebut telah terpesong aqidahnya sehingga berpaling daripada menyembah Allah kepada menyembah selain dari-Nya. Ada yang menyembah berhala, ada yang menyembah makhluk halus ( ghaib ) dan ada yang sesat sehinggakan mempercayai Allah mempunyai anak. Para rasul membawa risalah Allah agar umatnya kembali beriman kepada Allah dan melaksanakan segala perintah-Nya. Firman Allah dalam surah Al – Ikhlas ayat 1 hingga 4 yang bermaksud :


“ Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang memohon kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia."

RUKUN IMAN

Rukun Iman ada 6 perkara :

1. Beriman kepada Allah

2. Beriman kepada Malaikat

3. Beriman kepada Kitab

4. Beriman kepada Rasul

5. Beriman kepada Hari Akhirat

6. Beriman kepada Qada' dan Qadar

Beriman kepada Allah dengan mengaku bahawa Allah S.W.T. ada dan melaksanakan perintah-Nya dengan sempurna

RUKUN ISLAM

Rukun Islam ada lima perkara :

1. Mengucap 2 kalimah syahadah

2. Menunaikan solat 5 waktu sehari semalam

3. Berpuasa dalam bulan Ramadhan

4. Mengeluarkan zakat

5. Menunaikan haji bagi yang berkemampuan

MENGUCAP 2 KALIMAH SYAHADAH

Mengucap dua kalimah syahadah merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam. Ia merupakan syarat wajib bagi seorang Islam memperakukan keislamnnya selain melaksanakan Rukun Islam yang lain. Bagi mereka yang bukan berketurunan Islam, maka permulaan Islamnya apabila ia mengucapkan kalimah syahadah secara lisan ( diperdengarkan ) dalam bahasa Arab, jelas dan ikhlas di hadapan dua orang saksi muslim.


Setiap seseorang yang beragama Islam mesti ada pada dirinya syahadah ( pengakuan ) bahawa ia menyembah hanya kepada Allah dan mengakui bahawa Nabi Muhammad utusan Allah yang memimpin dan menyeru manusia ke arah mentauhidkan Allah dan beramal dengan ajaran Islam sepenuhnya.

Seseorang yang bukan Islam yang telah mengucapkannya beserta kepercayaan di dalam hati, maka terpelihara diri, harta dan nyawa seperti orang Islam.

Syarat bagi sahnya syahadah adalah :

  1. Tertib lafaz syahadah seperti yang dinyatakan.
  2. Melafazkan kedua-dua kalimah syahadah dengan berturut-turut (tanpa diselangi perbuatan lain)
  3. Mamahami makna kedua-duanya.
  4. Mendustakan perkara yang menyalahi atau bertentangan dengan maksud syahadah.
  5. Menggunakan perkataan "asyhadu" (ﺃَﺷْﻬَﺪُ ) pada keduanya.
  6. Tidak syak atau ragu-ragu akan kedua-duanya.


Pengertian Dua Kalimah Syahadah

Pengertian dua kalimah syahadah :

“ Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah,

dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah”.


Kalimah syahadah juga dikenali dengan kalimah tauhid kerana kalimah tersebut memperkukuhkan keimanan kita kepada Allah dan rasul-Nya dengan beramal dengan apa yang diperintahkan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Maka sekiranya ada pada dirinya pengakuan tersebut, maka ianya benar – benar Islam dan apabila ia mati ianya diuruskan dengan cara Islam selagi mana ia tidak melakukan perkara – perkara yang membatalkan Iman seperti murtad dan melakukan amalan syirik kepada Allah SWT.


Telah bersabda Rasulullah SAW :


Barangsiapa yang bersyahadah tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad Rasulullah, maka Allah mengharamkan jasadnya untuk disentuh api neraka. ( Riwayat Muslim )


Setelah Rasulullah SAW menerima wahyu daripada Allah, beliau mula mengajak masyarakatnya yang musyrik ( yang menyembah selain Allah ) kepada mentauhidkan Allah dan mengakui kerasulannya dengan mengucap dua kalimah syahadah. Nabi Muhamammad menyeru kaumnya dengan membekalkan kekuatan Iman dan kesabaran. Maka satu demi satu masyarakat Arab Jahiliah mendapat hidayah dengan memperakukan keislamannya dengan bersyahadah di hadapan Rasulullah SAW. Pada hari ini kita dapati dua kalimah syahadah telah tersebar ke seluruh pelusuk dunia yang menandakan ramainya umat Islam


Kita yang dilahirkan beribu bapakan orang Islam sememangnya telah sedia Islam dan tidak perlu mengikrarkan lafaz tersebut berbanding mereka yang baru memeluk Islam yang sebelumnya tidak mempunyai agama atau beragama selain Islam, maka perkara pertama yang perlu dilakukannya ialah mengucap dua kalimah syahadah untuk memperakukan keislamnya. Akan tetapi, bagi kita yang dilahirkan berketurunan Islam, kita dituntut memperkukuhkan syahadah kita dengan sentiasa melafazkannya sama ada ketika solat ataupun di luar solat. Ketika solat, pada tahiyat awal dan tahiyat akhir terdapat lafaz dua kalimah syahadah yang wajib dibaca . Kita akan membacanya 9 kali sehari semalam dalam menunaikan lima waktu solat fardu. Di luar solat pula kita boleh membacanya sebelum dan selepas tidur, selepas berwuduk, ketika berdoa dan sebelum mati. Tahukah adik - adik bahawa setiap ketika, setiap saat seluruh dunia melaungkan dua kalimah syahadah ketika azan dikumandangkan.


Adapun orang yang tidak berikrar dengan dua kalimah syahadah kerana keuzuran seperti bisu ataupun mati setelah beriman, maka dia mukmin. Sementara bagi orang yang mampu dan mempunyai masa untuk melafazkan dua kalimah syahadah tetapi enggan ( tidak mahu ) mengucapkannya kerana ingkarnya, maka dia boleh dianggap kafir. Maka marilah sama – sama kita memperkukuhkan syahadah kita dengan beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan janganlah dirosakkannya dengan amalan – amalan yang boleh membatalkan Iman. Moga – moga kita mati dalam keadaan orang Islam yang beriman.